skip to Main Content

Naik belon bila-bila masa

  • Press

oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

Bertemankan angin sepoi-sepoi bahasa, sedikit demi sedikit gondola yang dinaiki terapung di udara. Terasa tubuh makin tinggi dari permukaan bumi.

Ada kalanya gas yang mengeluarkan api untuk menegangkan belon mencetuskan bahang panas, namun pemandangan yang disajikan di kala itu menyejukkan suasana.

Takut? Sudah semestinya walaupun ia bukan penerbangan kali pertama buat penulis. Namun, keindahan panorama pagi nan indah di Putrajaya dari udara cukup mengujakan.

Hati terpesona melihat keindahan secara terbuka pada jarak ketinggian maksimum yang mampu dicapai belon udara panas.

Saat sudah berada di udara, sinaran matahari pagi yang memancar ketika itu secara tidak langsung memberikan perasaan damai dan tenang yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Bagai seekor burung yang sedang terbang, keseronokan melayang di udara pasti mengujakan ibarat hidup bebas tanpa ada yang menghalang.

Kecekapan kapten yang mengendalikan belon udara panas itu juga mengujakan tatkala melihat cara dia menerbangkan belon itu.

Itulah yang dirasai penulis ketika diberi peluang merasai sendiri penerbangan selama 45 minit menaiki belon udara panas di Putrajaya dan Cyberjaya, baru-baru ini.

Sebelum ini, belon udara panas hanya dilihat terbang di ruang udara Putrajaya sekitar Mac setiap tahun sempena Fiesta Belon Udara Panas.

Kini, atas permintaan ramai yang ingin merasai pengalaman manis bersiar-siar di udara, MyBalloon Advanture melancarkan penerbangan harian belon udara panas sejak November 2015.

Pengarah MyBalloon Adventure Izzati Khairudin berkata, banyak maklum balas diterima pihaknya bertanyakan mengenai penerbangan harian belon udara panas selain ketika Fiesta Belon Udara Panas.

Bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai sendiri pengalaman bersiar-siar di udara, penerbangan harian belon udara panas diperkenalkan MyBalloon Adventure.

“Ketika Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya, pengunjung ditawar merasai sendiri pengalaman terbang tetapi bilangannya terhad.

“Berikutan permintaan ramai dan MyBalloon Advanture sendiri mempunyai Sijil Operasi Udara (AOC) daripada Jabatan Penerbangan Awan, kami melancarkan penerbangan harian ini,” katanya.

Penerbangan harian ini juga diperkenalkan bagi mengembangkan lagi industri belon udara panas di Malaysia selain menjadikan negara sebagai destinasi pengangkutan itu.

“Malaysia destinasi pelancongan yang cukup terkenal di dunia. Ramai pelancong datang untuk bercuti termasuk di Putrajaya.

“Dengan adanya penerbangan belon udara panas, makin ramai pelancong datang untuk merasai pengalaman itu.

“Ia secara tidak langsung turut mempromosikan Malaysia sebagai destinasi belon udara panas yang unik kerana ia terapung di tengah pusat pentadbiran negara, bukannya di kawasan lapang seperti di kebanyakan tempat,” katanya.

Terbang setiap hari jika cuaca mengizinkan, MyBaloon Adventure menawarkan empat pilihan pakej iaitu Standard (RM850), Full Board (RM1,000), Premium (RM1,150) dan Private Flight (RM3,400 ke atas).

“Setiap pakej disertakan dengan minum pagi sebelum penerbangan, selepas mendarat dan sesi sarapan di Cyberview Resort and Spa Hotel serta sijil,” katanya yang merancang menawarkan penerbangan harian di Melaka dan Pulau Pinang.

Pakej yang ditawarkan MyBallon Adventure bermula di Presint 2 Putrajaya apabila penumpang disajikan minum pagi ringkas dan sesi taklimat keselamatan sementara menunggu belon udara panas siap untuk diterbangkan.

Sepanjang penerbangan yang mengambil masa 45 minit hingga sejam mengikut keadaan angin, penumpang akan dibawa melihat keindahan Putrajaya yang sememangnya terkenal dengan reka bentuk bangunan unik.

Penumpang turut berpeluang melihat keunikan susun atur, jalan terancang serta jambatan yang memiliki keunikan tersendiri.

Apabila berada di udara, selain melihat pemandangan dan merasai sendiri pengalaman terbang dengan belon udara panas, penumpang juga berpeluang belajar dan melihat sendiri bagaimana kapten mengendalikannya.

Sampai di kawasan mendarat, perlahan-lahan kapten mula bersiap sedia. Apabila gondola sudah menjejak tanah, perasaan puas cukup terasa kerana berjaya mendarat dengan selamat.

Sebaik mendarat, penumpang disajikan minuman sejuk dan tuala basah. Menerusi penerbangan ini, penumpang bukan hanya dibawa terbang dan melihat pemandangan indah tetapi turun melihat belon udara panas itu di kempis dan dilipat.

Ini kerana penumpang digalak turut sama melipat dan memasukkan belon udara panas yang siap dilipat ke dalam bekasnya.

Selesai semuanya, penumpang dihidangkan dengan air soda berperisa epal sambil mendengar penerangan mengenai sejarah penerbangan pertama belon udara panas yang terbang kali pertama pada 21 November 1783.

Sesi penerbangan pagi itu diakhiri dengan sarapan di Cyberview Resort and Spa Hotel dan penyampaian sijil yang menjadi bukti penumpang sudah terbang bersama belon udara panas itu.

Sementara itu, pasangan penyanyi Mizz Nina dan Noh Salleh turut teruja menaiki belon udara panas.

“Ini kali pertama saya menaiki belon udara panas ini dan ia cukup mendamaikan.

“Dengan pemandangan yang cantik, ia nyata pengalaman yang mengujakan dan dalam pada masa sama memberikan ketenangan,” kata Mizz Nina.

Artikel ini disiarkan pada: Khamis, 11 Februari 2016 @ 11:07 AM MyMetro

Back To Top